AGENDA

Guru kolej vokasional calon Anugerah Komuniti di Dubai

19 Jan 2020, 3:20 AM
Guru kolej vokasional calon Anugerah Komuniti di Dubai

KENINGAU, 19 JAN: Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan dipilih sebagai antara calon bagi Anugerah Komuniti untuk Kewarganegaraan di Dubai yang akan berlangsung 26 Februari ini.

Pengarah KV Keningau, Johari Sabin berkata pencalonan guru itu dalam anugerah berkenaan kerana sumbangannya terhadap sekolah dan komuniti dalam bidang pembelajaran teknologi, robotik, dron dan program pertukaran budaya.

"Mohd Al-Khalifa juga jurulatih pasukan sekolah sehingga mendapat tempat ketiga dalam pertandingan robotik antarabangsa di Seoul pada 2018.

"Sejak 2017, beliau (Mohd Al-Khalifa) telah melaksanakan program pertukaran pelajar dan guru dengan sekolah-sekolah di Korea Selatan yang membolehkan pelajar serta guru KV Keningau menimba pengalaman selama seminggu di negara tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Johari berkata sebelum ini Mohd Al-Khalifa pernah memenangi pertandingan projek sosial dengan kempen alam sekitar yang menggalakkan penggunaan semula bahan-bahan terpakai.

Katanya, KV sentiasa menggalakkan gurunya menceburi pelbagai bidang yang boleh diguna pakai dalam pendidikan sama ada bidang teknologi, kesenian, sukan, penyelidikan, kemahiran, keusahawanan serta inovasi.

"Budaya ini telah berjaya membantu KV Keningau memperoleh pelbagai pencapaian di dalam dan luar negara," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.