AGENDA

Lantikan Prasarana, MAHB bukan kuasa Kementerian Pengangkutan

9 Jan 2020, 5:26 AM
Lantikan Prasarana, MAHB bukan kuasa Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah perkara yang bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

Ketika menjelaskan perkara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Prasarana adalah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala MAHB pula sebahagiannya dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd dan tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

"Pelantikan CEO Prasarana bukan di bawah bidang kuasa saya kerana ia merupakan sebuah syarikat MKD.

“Keadaan sama untuk MAHB yang merupakan sebuah syarikat awam tersenarai dengan sebahagian daripada (kepentingannya) dimiliki oleh Khazanah. Oleh itu, Lembaga Pengarah yang akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai perkembangan terbaharu membabitkan Pas Perjalanan Tanpa Had Prasarana My100 dan My50 di sini hari ini.

Laporan media pada Selasa lalu menyatakan bahawa Presiden dan CEO Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain yang dilantik menyandang jawatan itu pada 3 September 2018 telah digantung tugas oleh Lembaga Pengarah syarikat itu.

Selain itu, MAHB pada Isnin memaklumkan Bursa Malaysia bahawa CEO Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin telah melepaskan jawatan itu bagi meninjau peluang lain.

Berikutan itu, Lembaga Pengarah MAHB telah melantik Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh yang merupakan Ketua Pegawai Operasi, untuk memangku tugas CEO.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.