AGENSI

Warga Unisel diseru terus tingkatkan kualiti kerja

9 Jan 2020, 1:29 AM
Warga Unisel diseru terus tingkatkan kualiti kerja

SHAH ALAM, 8 JAN: Seluruh warga Universiti Selangor (Unisel) diseru menggandakan kualiti kerja masing-masing bagi memastikan institusi ini terus menempa nama bukan sahaja di peringkat negeri malah antarabangsa.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata semua kakitangan perlu menambah baik produktiviti diri, terutama ketika melaksanakan tugas masing-masing.

“Kita meraih pelbagai kejayaan tahun lalu dan harapan saya tahun ini Unisel akan terus ke hadapan dalam membudayakan kualiti kerja baik dari segi pentadbiran, penyelidikan mahupun pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perutusan Amanat Tahun Baharu 2020 di Kampus Bestari Jaya dan tayangan secara langsung di Shah Alam kelmarin.

Katanya Unisel akan meneruskan kerjasama dengan pihak luar termasuk pemain industri menerusi memorandum persefahaman dan kunjungan hormat pemimpin politik serta masyarakat.

“Selain itu, beberapa program penjenamaan juga akan diteruskan bagi meningkatkan imej Unisel di mata dunia, pada masa sama membuka mata masyarakat mengenai keberadaan Unisel khususnya di Selangor,” katanya.

Dalam majlis itu, Mohammad Redzuan berkesempatan menyampaikan sumbangan zakat bantuan persekolahan kepada 34 kakitangan dari kedua-dua kampus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.