AGENSI

Maqis Selangor rampas 29,000kg keladi segar China

7 Jan 2020, 8:16 AM
Maqis Selangor rampas 29,000kg keladi segar China

SHAH ALAM, 7 JAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 29,000 kilogram (kg) keladi segar dari China dianggarkan bernilai lebih RM63,000 di pintu masuk Pelabuhan Utara, Klang dekat sini Sabtu lalu.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata rampasan dilakukan pada jam 11 pagi berikutan produk pertanian itu tidak mematuhi syarat wajib 3P iaitu pelabelan, penggredan dan pembungkusan ditetapkan Maqis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Satu kontena berisi keladi segar itu dibawa kapal dagang dari China dan syarikat pengimportnya ada mengisytiharkan jenis barangan tersebut. Bagaimanapun, label pada produk berkenaan tidak mematuhi syarat wajib 3P,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata syarikat yang tidak mematuhi syarat import boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, Maqis komited dalam menguatkuasakan undang-undang di pintu masuk yang diwartakan demi menjamin keselamatan sektor pertanian negara dan memastikan produk pertanian tersebut selamat, bebas perosak dan penyakit berbahaya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.