KLANG, 19 DIS: Jatuh bangun dalam dunia perniagaan hampir mematahkan semangat usahawan, Rasidi Ramli sebelum beliau menemui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang memberi pinjaman secara mudah dan cepat.
Menerusi Hijrah itu, Rasidi berkata, beliau yang memulakan perniagaan percetakan baju secara kecil-kecilan selama tujuh tahun, akhirnya mampu memiliki kedai sendiri.
Katanya, sejak membuat pinjaman dengan Hijrah, perniagaannya berjaya bangkit semula malah bertambah maju.
[caption id="attachment_372991" align="alignleft" width="500"]
Pemilik Hyper Colour Resources, Rasidi Ramli ketika ditemui wartawan semasa Kembara Sukses Hijrah Selangor di Klang pada 19 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
"Memang tidak dinafikan berniaga perlu mempunyai semangat kental untuk bersaing dengan peniaga lain. Saya juga begitu, sangat minat dengan perniagaan mencetak baju menyebabkan perniagaan ini terus bertahan," katanya yang mengakui pinjaman Hijrah membolehkannya membuat pusingan modal.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Kembara Sukses Hijrah Selangor 2019 di kedainya, Hyper Colour Resources, Kota Raja, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman.
Terdahulu seramai 72 usahawan pelbagai bidang dicalonkan sebagai usahawan berjaya dan angka itu meningkat berbanding 34 pencalonan pada tahun lalu.
Pencalonan dilakukan berdasarkan pemilihan dari 22 cawangan seluruh Selangor dan daripada itu, 13 orang berjaya dipilih menjayakan program ‘Success Story Hijrah 2019’.
Program 'Success Story Hijrah 2019' adalah usaha yayasan untuk mendokumentasikan pencapaian usahawan Hijrah dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang dalam perniagaan serta menyumbang kepada pembangunan Selangor.








