AGENDA

Penjara: 'Tidak benar sama sekali' Azilah dibawa bertemu VVIP

18 Dis 2019, 5:52 AM
Penjara: 'Tidak benar sama sekali' Azilah dibawa bertemu VVIP

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Penjara Malaysia menafikan banduan kes bunuh Altantuya Shaariibuu dibawa bertemu orang kenamaan (VVIP) seperti didakwa peguam Datuk Seri Najib Razak.

"Sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan (banduan) Azilah Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali," kata jabatan itu dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, mendakwa bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berkenaan dibawa keluar dari penjara.

Dalam kenyataan sama, jabatan itu menjelaskan Azilah, yang menunggu hukuman gantung sampai mati, tidak pernah bertemu dengan sesiapa kecuali keluarganya sebanyak 34 kali dan peguamnya (15 kali).

"Kali terakhir penama (Azilah) dibawa keluar dari Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang," kata Jabatan Penjara Malaysia.

Isnin lalu, Azilah dalam akuan bersumpahnya mendakwa Najib mengarahkannya membunuh dan membuang kesan mayat wanita Mongolia itu pada Oktober 2006.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.