AGENDA

12 pekerja kilang kimia di Pasir Gudang melecur akibat kebakaran

9 Dis 2019, 2:11 AM
12 pekerja kilang kimia di Pasir Gudang melecur akibat kebakaran

JOHOR BAHRU, 9 DIS: Dua belas pekerja sebuah kilang kimia di Jalan Nibong 1, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, melecur dalam kejadian kebakaran di kilang berkenaan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata kebakaran yang berlaku antara jam 9.21 pagi dan jam 9.27 pagi itu, bagaimanapun, berjaya dipadam sepenuhnya oleh Unit Kebakaran Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd.

"Kejadian menyebabkan 12 pekerja melecur pada bahagian badan.

"Dua daripadanya menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, di sini, manakala empat lagi di Hospital Penawar, Pasir Gudang. Enam yang lain hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Penawar, Pasir Gudang," katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Ismail berkata punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahya Madis mengesahkan tindakan pemadaman kebakaran itu dilakukan pihak Pasukan Respons Kecemasan (ERT) kilang tanpa menghubungi bomba.

"Yang terbakar adalah tong solvent di luar kilang dan tidak melibatkan struktur kilang," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.