AGENSI

RM179 juta baiki jalan rosak di seluruh negeri

26 Nov 2019, 7:13 AM
RM179 juta baiki jalan rosak di seluruh negeri

KLANG, 26 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM179 juta kepada Jabatan Kerja Raya bagi membaiki kerosakan jalan di seluruh negeri ini pada tahun depan.

Dato' Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan keseluruhan peruntukan kepada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) bagi tujuan sama.

"Selangor kini menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan yang saya percaya lebih besar kerana jalan-jalan persekutuan lebih panjang berbanding jalan-jalan Negeri.

"Bagi Kerajaan Negeri, kita akan gunakan sepenuhnya peruntukan Marris bagi menyelenggara jalan. Tidak akan ada satu sen pun kita simpan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyiapan Projek Cadangan Tebatan Banjir di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, setakat ini aduan membabitkan kerosakan jalan persekutuan lebih banyak berbanding jalan negeri.

Katanya, antara jalan persekutuan paling banyak mengalami kerosakan ialah jalan-jalan di Pelabuhan Klang, Sementa dan jalan yang menghubungkan Meru dengan Kapar.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM88 juta bagi membiayai projek tebatan banjir pada tahun 2020 yang akan disalurkan kepada Jabatan Parit dan Saliran.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.