AGENSI

Penduduk di Kuala Selangor gempar bunyi letupan

25 Nov 2019, 3:20 AM
Penduduk di Kuala Selangor gempar bunyi letupan

KUALA SELANGOR, 25 NOV: Penduduk di sekitar Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor dekat sini, gempar susulan bunyi letupan dari tapak pembuangan sampah haram awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 3.30 pagi.

Katanya seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor dan Kapar digegaskan ke lokasi kejadian di Jalan Kapar Batu 16, dekat sini.

"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran dan hasil pemeriksaan menemukan ia berpunca daripada 270 tong berlonggok disyaki mengandungi bahan kimia yang dibuang di kawasan itu.

"Kebakaran di kawasan seluas 50x50 kaki persegi itu bagaimanapun dapat dipadam sepenuhnya sekitar 5.58 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hafisham berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jenis bahan kimia yang terdapat dalam tong tersebut masih disiasat.

“Bagaimanapun anggota bomba yang memadamkan kebakaran kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital kerana ia membabitkan bahan kimia,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.