AGENDA

KDN akan rampas komik sebar ideologi komunis

24 Okt 2019, 4:14 AM
KDN akan rampas komik sebar ideologi komunis

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan merampas komik didakwa berunsur propaganda yang diedarkan ke sekolah.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rampasan akan dilakukan susulan pihaknya telah mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

“Kalau masih dalam edaran di pasaran maka kita akan ambil tindakan untuk rampas sebab keputusan sudah dibuat. Perkara ini agak serius, sebab itu saya kena ambil tindakan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan susulan yang akan dilakukan selepas pihaknya mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut semalam.

Menurut Muhyiddin, langkah itu diambil selepas pihaknya meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

“Memang ada asas kukuh, bukan kerana apa-apa sentimen atau tindakan terhadap mana-mana pihak. Ia berdasarkan ‘content’ (kandungan), apa lagi ia telah diedarkan dalam negara di sekolah-sekolah,” tegasnya.

Ditanya sekiranya komik itu masih diedarkan di sekolah, Muhyiddin menyerahkan kuasa kepada Kementerian Pendidikan untuk bertindak merampas komik itu.

“Saya difahamkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan ambil tindakan. Terserah kepada kebijaksanaan pihak sekolah,” kata Muhyiddin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan agar rakyat negara ini tidak membaca komik berkenaan yang menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis selain mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan serta simpati terhadap perjuangan fahaman itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.