AGENDA

Permaisuri Agong, anakanda sertai KL Pink October Walk 2019

19 Okt 2019, 5:15 AM
Permaisuri Agong, anakanda sertai KL Pink October Walk 2019

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pagi ini berkenan melepaskan peserta larian santai KL Pink October Walk 2019.

Hadir ke pekarangan Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 7.30 pagi, Tunku Azizah yang berpakaian sukan berwarna merah jambu, turut serta berjalan sejauh satu kilometer, bersama lebih 2,000 peserta yang mula tiba di lokasi berkenaan sejak jam 6.45 pagi tadi.

Larian santai sejauh lima kilometer secara keseluruhan itu adalah sebahagian kempen kesedaran kanser payudara yang disambut ​di seluruh dunia ​pada setiap Oktober.

Sementara itu, reruai yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan saringan kanser payudara turut dikunjungi Tunku Azizah bersama anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah sebaik baginda menamatkan larian santai tersebut.

Lebih menarik, Tunku Azizah tidak ketinggalan menghilangkan dahaga dengan menikmati air milo dari van yang disediakan penganjur, bersama peserta sambil berkongsi cerita mengenai larian santai yang disertai mereka.

Usai melawat reruai dan bertemu peserta, Tunku Azizah kemudian berkenan mencemar duli berangkat melawat wad radioterapi dan onkologi HKL, sebelum meluangkan masa selama hampir satu jam beramah mesra dengan 45 pesakit di wad berkenaan.

Selain bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, Tunku Azizah turut menceriakan pesakit dengan menyampaikan beg cenderahati disediakan penganjur. ​​

Kehadiran Tunku Azizah dan anakanda baginda pada acara larian santai dan wad tersebut diiringi Pengarah HKL, Datuk Heric Corray, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi KL Pink Oktober Walk, Dr Ros Suzanna Bustaman.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.