AGENSI

Tengku Permaisuri Norashikin meriahkan Karnival Kuala Selangor

19 Okt 2019, 5:04 AM
Tengku Permaisuri Norashikin meriahkan Karnival Kuala Selangor
Tengku Permaisuri Norashikin meriahkan Karnival Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat memeriahkan Karnival Kuala Selangor 2019 di Dataran Malawati, di sini, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat.

Baginda berkenan melafazkan ucapan perasmian sekali gus menyempurnakan gimik sempena Hari Rendah Karbon dan turut merasmikan Dataran Malawati sebagai mercu tanda terbaharu Kuala Selangor.

Tengku Permaisuri turut berkenan berangkat melawat tapak mural di beberapa bangunan sekitar Dataran Malawati.

Pada majlis sama, baginda turut melakukan pelepasan Jejak Warisan iaitu misi pencarian harta karun bagi kategori 18 hingga 35 tahun.

Selain itu, baginda juga mencemar duli mengadakan lawatan ke gerai pameran Selera Warisan yang menyajikan pelbagai makanan dan permainan tradisional.

Ketibaan baginda sejak jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari diakhiri dengan baginda berkenan berangkat ke Taman Alam Kuala Selangor bagi melancarkan New Birdlife Important Bird Area sempena program Pesta Sayap.

Turut hadir mengiringi baginda, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han.

Karnival Kuala Selangor pada hari ini bertujuan mengetengahkan selera warisan tradisi rakyat daerah berkenaan.

Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu akan berakhir pada jam 1 pagi nanti dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan khusus buat penduduk sekitar dan pelancong.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.