AGENSI

Imbuhan beri tonik awal Red Giants bertemu JDT

17 Okt 2019, 3:28 PM
Imbuhan beri tonik awal Red Giants bertemu JDT

SHAH ALAM, 17 OKT: Menjelang perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Malaysia, Kerajaan Negeri memberi imbuhan RM3,000 kepada semua pemain serta pegawai pasukan Selangor sebagai suntikan semangat sebelum bertemu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sumbangan menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu diserahkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Pertemuan YAB Dato Menteri Besar Bersama Pemain Bola Sepak Selangor di Bangunan Darul Ehsan.

Amirudin yang ditemui sejurus selesai program berkata, imbuhan itu diberikan selepas Red Giants berjaya bangkit menewaskan juara bertahan Perak menerusi agreget 3-2 pada peringkat suku akhir.

“(Imbuhan) ini sebagai semangat kepada semua khususnya pemain yang layak ke peringkat seterusnya (akhir) dan saya tahu menentang JDT bukan satu lawan yang mudah.

“Saya harap mereka boleh memberikan sesuatu yang baik kepada pasukan dan negeri,” katanya.

Selangor dijadualkan menentang JDT di Larkin Sabtu ini pada pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Manakala satu lagi perlawanan menyaksikan pertemuan Juara Shopee Piala FA 2019, Kedah menentang Pahang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.