AGENSI

Bekalan air pulih 47 peratus setakat 12 tengah hari

29 Sep 2019, 5:57 AM
Bekalan air pulih 47 peratus setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 29 SEPT: Bekalan air di empat wilayah terjejas di Selangor ekoran pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih mencapai tahap pemulihan 47 peratus, setakat 12 tengah hari tadi. 

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, status itu berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan dijalankan pihaknya. 

“Bantuan lori-lori tangki akan terus digerakkan dan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih sepenuhnya. 

“Air Selangor mengambil segala langkah dan tindakan perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan serta menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan. 

SelangorKini awal pagi tadi melaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terpaksa dihentikan sementara susulan pencemaran bau di sumber air mentah kembali beroperasi sepenuhnya jam 6.30 pagi tadi. 

Terdahulu, kira-kira 372,031 pemegang akaun di 204 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran pencemaran berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan Bandar Bukit Mahkota. 

Abdul Raof Ahmad dilaporkan berkata, pencemaran bau dengan bacaan lima ton itu adalah kejadian kali keempat pada tahun ini yang menyebabkan loji utama terpaksa dihentikan daripada beroperasi.

Akibat daripada penutupan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku membabitkan kawasan luas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.