PUTRAJAYA, 23 SEPT: Semua sekolah di seluruh negara akan beroperasi seperti biasa esok berikutan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini semakin berkurangan.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini, sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa," jelasnya.
Bagi mendapat maklumat terkini tentang penutupan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari portal kementerian di www.moe.gov.my atau di saluran media sosial rasmi KPM (Facebook / Instagram / Twitter) @kempendidikan.
Sementara itu, kualiti udara di beberapa kawasan di seluruh negara dilaporkan semakin baik dengan bacaan IPU terus mencatat penurunan daripada kategori tidak sihat kepada sederhana.
Setakat jam 7 petang ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan penurunan bacaan IPU beberapa kawasan iaitu Johan Setia, Klang di Selangor dengan bacaan IPU tidak sihat iaitu 183 berbanding tengah hari tadi berada pada tahap sangat tidak sihat.
Selain itu, tiga kawasan di Johor iaitu Kluang, Larkin dan Pasir Gudang serta Taiping di Perak turut mencatatkan penurunan bacaan IPU kepada tahap sederhana pada petang ini berbanding tahap tidak sihat sebelum ini dengan bacaan masing-masing 96, 99, 90 dan 95.
Malah, jumlah kawasan yang merekod bacaan IPU tidak sihat juga menurun kepada 33 berbanding 36 pada pagi tadi.
Antara kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Balik Pulau (109) di Pulau Pinang; Tasek Ipoh (132), Pegoh Ipoh (112) Seri Manjung (163) di Perak; Batu Muda (132), Cheras (132) di ibu negara; Putrajaya (148); Kuala Selangor (144), Petaling Jaya (139), Shah Alam (137), Klang (138) dan Banting (144) di Selangor.
Di Negeri Sembilan, tiga kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu di Nilai (170), Seremban (136) dan Port Dickson (154); Alor Gajah (132), Bukit Rambai (138) dan Bandaraya Melaka (131) di Melaka; Segamat (157), Batu Pahat (103), Tangkak (126) di Johor; serta Sri Aman (105) di Sarawak.
Di Pahang, turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Rompin (125), Temerloh (152), Jerantut (116), Indera
Mahkota (145) dan Balok Baru (146); manakala di Terengganu ialah Kemaman (156), Paka (132) dan Kuala Terengganu (127); selain Tanah Merah (108) dan Kota Bharu (116) di Kelantan.
Sebanyak 34 kawasan pula merekod kategori sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
- BERNAMA








