AGENDA

Datuk menyamar untuk jadi penasihat perubatan Agong didakwa

15 Ogos 2019, 6:06 AM
Datuk menyamar untuk jadi penasihat perubatan Agong didakwa

PUTRAJAYA, 15 OGOS: Seorang penasihat projek berpangkat Datuk hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar dan mengaku sebagai pegawai kanan kerajaan supaya dilantik sebagai penasihat perubatan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Datuk Redzuan Zainuddin, 37, dituduh menyamar sebagai 'Datuk Riduan' untuk menipu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kesihatan, Mohd Hamidi Abu Bakar, pada 28 Mac tahun ini (2019) kira-kira pukul 11 pagi di pejabat Menteri Kesihatan, Aras 13, Blok E7, Parcel E, Putrajaya.

Redzuan turut dituduh berpura-pura memegang jawatan Gred Khas Utama C Projek Institut Perubatan Forensik Negara pada waktu, tarikh dan tempat yang sama dalam cubaan untuk dilantik sebagai penasihat perubatan dan sains forensik kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Redzuan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengangguk faham apabila dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya dan mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan kedua di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi sementara Redzuan diwakili peguam Siti Suraya Abu Hassan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan ditetapkan pada 5 September depan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.