AGENDA

Salah guna nama PM: Pejabat PM buat laporan SKMM

22 Jul 2019, 10:32 AM
Salah guna nama PM: Pejabat PM buat laporan SKMM

PUTRAJAYA, 22 JUL: Nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dikesan disalahgunakan oleh pihak tertentu dalam dua insiden hingga boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan surat berbentuk e-mel kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan demi mendapatkan sokongan peribadi dalam menjayakan pentadbiran beliau.

"Sebarang bentuk komunikasi rasmi daripada Perdana Menteri akan hanya dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, dan bukannya dari e-mel peribadi beliau," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah menyokong mana-mana laman sesawang yang mempromosikan perniagaan Bitcoin.

Kedua-dua insiden itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

"Pejabat Perdana Menteri ingin menasihatkan sesetengah pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahguna nama dan kedudukan Perdana Menteri di dalam surat-menyurat mahupun laman sesawang kerana ini adalah salah di sisi undang undang," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.