AGENDA

Mahkamah perintah AirAsia bayar RM40.73 juta kepada MA Sepang

18 Jul 2019, 11:25 PM
Mahkamah perintah AirAsia bayar RM40.73 juta kepada MA Sepang

KUALA LUMPUR, 18 JUL : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia membayar caj perkhidmatan penumpang (PSC) belum dibayar sebanyak RM40.73 juta, yang syarikat penerbangan itu enggan kutip selama enam bulan tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata AirAsia juga perlu membayar RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) belum dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuh MAHB.

"Mahkamah memberikan ringkasan penghakiman yang berpihak kepada MA Sepang dalam ketiga-tiga saman sivil difailkan terhadap AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd.

"Perintah selanjutnya dalam ringkasan penghakiman itu termasuk perisytiharan bagi AirAsia membayar MA Sepang kadar PSC yang telah diwartakan," katanya.

Dilaporkan AirAsia juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM24,000 untuk tiga saman tersebut.

Sementara itu, AirAsia, dalam makluman berasingan berkata mahkamah telah membenarkan permohonan penghakiman difailkan oleh MA Sepang pada kos RM8,000 bagi setiap permohonan dan menolak permohonan AirAsia X untuk membatalkan permohonan itu tanpa mengeluarkan perintah berhubung kos.

“Kami akan mengambil tindakan perlu untuk memelihara kepentingan kami, termasuk merayu terhadap keputusan itu dan memohon penangguhan pelaksanaan perintah,” kata syarikat penerbangan itu.

-BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.