AGENDA

Tiada konflik kepentingan dalam buat keputusan - Speaker

18 Jul 2019, 9:36 AM
Tiada konflik kepentingan dalam buat keputusan - Speaker

KUALA LUMPUR, 18 JUL : Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengakui bahawa anak lelakinya bekerja dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak berlaku konflik kepentingan dalam membuat keputusan berhubung usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

“Ini bukan perkara yang saya sorok-sorokkan, memanglah. Tetapi anak saya umur 31 tahun… dia bebas untuk bekerja di mana sahaja, di bawah siapa sahaja.

“… Sama ada wujud conflict of interest, saya kira tidak. Dari segi kehakiman, peraturannya amat ketat. Saya dahulu bekas hakim, kalau ada sedikit pun perkara yang menyentuh tentang kebebasan dan sebagainya, kita harus menarik diri,” katanya.

Ismail Sabri sebelum itu bangun meminta kepastian sama ada benar atau tidak anak Mohamad Ariff bekerja sebagai setiausaha akhbar kepada Lim, seperti yang tular dalam media sosial.

Semalam, Mohamad Ariff memutuskan tiada unsur provokasi dalam dakwaan Lim pada sesi sidang Dewan Rakyat Ogos tahun lepas bahawa wang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Isnin lepas, hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendapati wang berjumlah RM19.4 bilion yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST sebenarnya digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

-BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.