NASIONAL

MOT harap lebih banyak operator perkenal sistem tanpa tunai

17 Jun 2019, 6:22 AM
MOT harap lebih banyak operator perkenal sistem tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 17 Jun : Kementerian Pengangkutan berharap lebih banyak operator pengangkutan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan sistem bayaran tanpa tunai (cashless) pada masa akan datang.

Menteri berkenaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam selain berupaya menambah bilangan pengguna.

“Sejak tahun lepas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) menyatakan beliau nak lihat Malaysia menuju kepada masyarakat tanpa tunai.

“Ia untuk meningkatkan keupayaan dalam banyak bidang, serta dapat menangani gejala rasuah kerana kalau guna tanpa tunai, apa-apa transaksi akan direkodkan,” katanya selepas melancarkan kempen Penggunaan Pengangkutan Awam Tanpa Tunai anjuran Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di sini, hari ini.

Kempen itu menyaksikan penyertaan rakan strategik ERL seperti Boost e-wallet, GrabPay, Mastercard, Maybank, Touch ‘n Go, UnionPay dan Visa yang mempromosikan sistem bayaran tanpa tunai.

Loke berkata sistem bayaran tanpa tunai akan dilaksanakan secara berfasa, bagi memastikan ia dapat dijalankan secara menyeluruh.

Katanya sistem berkenaan membolehkan pengendali perkhidmatan menganalisis data dan trend penggunaan perkhidmatan, supaya mereka lebih inovatif untuk melaksanakan harga dinamik kepada pengguna. -BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.