EKONOMI

Kerajaan disaran laksana dasar tingkat aktiviti ekonomi Melayu

12 Jun 2019, 9:18 AM
Kerajaan disaran laksana dasar tingkat aktiviti ekonomi Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUN: Penglibatan kaum Melayu dalam aktiviti ekonomi khasnya sektor pembuatan masih berada pada tahap rendah berbanding kaum lain.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, oleh itu Kerajaan perlu memperkenalkan dasar ekonomi baharu bagi membantu meningkatkan penyertaan Melayu dalam aktiviti ekonomi.

"Peratusan penglibatan kaum Melayu dalam aktiviti ekonomi masih kecil di mana kalau kita lihat berdasarkan sektor, sektor pembuatan paling rendah berbanding sektor perkhidmatan seperti perhotelan, perbankan, pengangkutan, kesihatan dan lain-lain.

"Walaupun penglibatan anak Melayu dalam sektor perkhidmatan sekitar 20 hingga 25 peratus tetapi masih rendah berbanding kaum lain, malahan dalam sektor pertanian komersial seperti penternakan ayam, pengeluaran sayur-sayuran dan lain-lain juga dikuasai kaum lain," katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan Kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu sebelum ini jelas gagal mencapai sasaran yang diharapkan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, Kerajaan juga perlu mengkaji untuk memperkenalkan dasar kouta pinjaman perniagaan kepada peniaga bumiputra.

Katanya, ini kerana faktor modal merupakan isu terbesar yang menyekat penglibatan Melayu dalam aktviti ekonomi.

Katanya, Kerajaan perlu menanam mentaliti masyarakat pengeluar di dalam masyarakat Melayu berbanding mentaliti masyarakat pengguna seperti hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.