NASIONAL

RCI Wang Kelian: Tiga saksi beri keterangan hari ini

27 Mei 2019, 3:50 AM
RCI Wang Kelian: Tiga saksi beri keterangan hari ini

PUTRAJAYA, 27 MEI: Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis yang memasuki hari ke-12 bersambung hari ini.

Tiga lagi individu dijangka memberi keterangan di hadapan tujuh anggota panel yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menjadikan jumlah keseluruhan 38 saksi telah memberi keterangan sejak hari pertama prosiding pada 16 April lepas.

Individu pertama tampil memberi keterangan hari ini selaku saksi ke-36 ialah Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Perlis Monica Joseph Gaisah.

RCI yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu itu berlangsung di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri di sini yang diubah suai seperti mahkamah.

Ia diadakan susulan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Antara lain, RCI itu diadakan bertujuan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara serta kubur di Wang Kelian. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.