BERITA UTAMA

Malaysia teruskan bantuan untuk rakyat Palestin

12 Mei 2019, 3:13 PM
Malaysia teruskan bantuan untuk rakyat Palestin
Malaysia teruskan bantuan untuk rakyat Palestin

GEORGE TOWN, 12 MEI: Malaysia akan meneruskan bantuan dan sumbangan untuk umat Islam di Palestin yang terjejas dalam serangan rejim Zionis Israel di Gaza sejak awal bulan ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, awal tahun ini Kerajaan Malaysia menghantar bantuan peralatan perubatan bernilai RM1.5 juta ke hospital-hospital di Gaza.

"Kita memang selalu bagi bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan dan melalui tabung kemanusiaan. Kita akan berhubung dengan Kedutaan Palestin di Malaysia dan sekiranya perlu sumbangan, insya-Allah kita akan salurkan kepada mereka.

"Bantuan peralatan perubatan adalah satu daripada sumbangan terbesar kita. Kita juga cuba untuk memberi bantuan dari segi peralatan kepada sekolah-sekolah di sana, ini yang sedang kita giatkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pulau Pinang, di sini malam ini.

Marzuki berkata, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu itu terutama ketika umat Islam di Palestin sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.

"Memang kita mengecam sama sekali serangan tersebut terutama di dalam bulan Ramadan tetapi Israel menggiatkan usaha mereka untuk menghancurkan Palestin.

Ini adalah satu daripada usaha yang mana kita rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang Palestin mengecam sekejam-kejamnya perkara yang dilakukan Israel (ke atas Palestin)," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.