NASIONAL

Perodua jual 20,100 kenderaan pada Januari lalu

4 Feb 2019, 7:41 AM
Perodua jual 20,100 kenderaan pada Januari lalu

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perodua menjual kira-kira 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini, termasuk 1,025 unit kenderaan utiliti sukan yang baharu dilancarkan, Aruz, pada hari terakhir Januari.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, walaupun agak lewat mendaftarkan Aruz, pembuat kereta nasional kedua itu berjaya memaksimumkan penyerahan model itu dalam masa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang panjang.

"Sementara menunggukan angka rasmi dari Persatuan Automotif Malaysia, Perodua menganggarkan penguasaan pasaran Perodua bagi Januari ini sebanyak 41.7 peratus, yang adalah pertumbuhan 9.2 peratus daripada 18,400 kenderaan yang dijual pada Disember tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Jualan untuk Januari lalu adalah 13.6 peratus lebih tinggi berbanding 17,700 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu.

Walaupun Aruz telah diterima dengan baik dengan 8,000 tempahan setakat ini, Zahari berkata, model lain juga turut mendapat respon yang baik, dengan lebih daripada 19,000 unit didaftarkan pada Januari.

"Permintaan tinggi ke atas Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu, terutama bagi varian AV. Kami melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu ini," katanya.

Mengenai permintaan ke atas model lain, Zahari berkata, jualan amat memberangsangkan dengan Perodua Myvi masih mengungguli jualan dari segi jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari manakala model lain mendahului segmen masing-masing, dengan jualan melebihi 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit untuk Axia, Bezza dan Alza.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.