NASIONAL

Tun M lancar Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023

29 Jan 2019, 4:00 AM
Tun M lancar Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023
Tun M lancar Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023

PUTRAJAYA, 29 JAN: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 secara rasminya dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pembangunan pelan itu sejajar usaha merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Dibuat berdasarkan 22 strategi, pelan itu memberi keutamaan enam sektor utama di yang mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Bertemakan 'Memecah Rantaian Rasuah’, NACP dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Memetik laporan BH Online, pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh Iima tahun akan datang.

NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikanPerdana Menteri, pada 8 Jun lalu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Majlis turut dihadiri barisan menteri Kabinet dan menteri-menteri besar.

Pelan khusus itu dibangunkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.