ad
AGENDA

Kesihatan Dr Mahathir semakin baik

25 Jan 2022, 1:21 PM
Kesihatan Dr Mahathir semakin baik

SHAH ALAM, 25 JAN: Kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik.

Anaknya Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya sudah berselera menjamah makanan dan boleh berseloroh bersama ahli keluarga.

“Beliau meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan.

“Dr Mahathir akan terus mendapat rawatan di IJN bawah pengawasan pakar tempatan. Buat masa ini IJN tidak membenarkan pelawat selain dari ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Marina berkata mereka sekeluarga terharu dan menghargai doa dari semua pihak.

Dr Mahathir dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN sejak Khamis lalu. Sebelum ini pada 7 Januari beliau dimasukkan ke institut berkenaan bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember tahun lalu beliau turut dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.