ad
NASIONAL

Pusat kawalan trafik bakal mudahkan pengurusan trafik

16 Feb 2018, 2:31 AM
Pusat kawalan trafik bakal mudahkan pengurusan trafik
Pusat kawalan trafik bakal mudahkan pengurusan trafik

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG, 16 FEB: Pusat kawalan trafik kebangsaan bakal dilaksanakan dalam usaha memastikan keberkesanan sistem pengurusan trafik dan penguatkuasaan undang-undang, di semua lebuh raya utama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pusat kawalan itu akan dilengkapi dengan sistem sensor (pengesan) dan kamera bagi memudahkan agensi terbabit.

"Melalui penggunaan sensor dan kamera ini, kita dapat mengumpul data aliran masuk kenderaan bagi tujuan kajian. Ia masih dalam perancangan, namun sudah dibawa kepada kabinet dan sudah dipersetujui secara prinsip.

"Kita jangkakan, cadangan ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu pada 2020," katanya dalam sidang media pemantauan trafik melalui udara sempena cuti Tahun Baharu Cina, di Menara Korporat Persada PLUS, di sini.

Katanya, tujuan utama perancangan itu adalah bagi meningkatkan pengurusan trafik dengan lebih efisien, sekali gus mengurangkan kadar risiko kemalangan.

"Selain itu, ia dapat memantau kenderaan yang memasuki lebuh raya bagi tujuan keselamatan.

"Ini adalah pelan jangka panjang membabitkan semua agensi berkaitan keselamatan dan penguatkuasa lebuh raya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis," katanya.

Fadillah berkata, kajian terperinci berhubung pusat berkenaan giat dijalankan termasuk mendapatkan komen semua agensi penguatkuasaan serta kementerian.

"Diharapkan dengan pelaksanaan pusat ini kelak, maka ia dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya, di seluruh negara," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.