SASTERA

Cerita kota dan kisah kerusi terbang

5 Feb 2018, 8:54 AM
Cerita kota dan kisah kerusi terbang

Cerita kota ini tidak pernah dusta

tentang gelandang dan rumah bertingkat

tinggi berpuncak seperti impian dan hasrat

yang diranapkan oleh dunia kefakiran yang melarat.

Mereka memilih untuk melepaskan geramdan suara rintihan

dengan lontaran sampah

tanpa mempeduli siapa di bawah

kerana hati nihil berbisik pada jemari jahil

ketika akal dicemari dangkal

yang luruh terjatuh adalah sisa-sisa gejala

tamadun bangsa yang kecai

di kota yang tergadai

akhlak dan moral.

Maka melatakan perca di merata

kerana peradaban telah kontang

hati-hati songsang membejatkan nafsu

dengan hitam tingkah dan liar serakah

kemiskinan rupanya membunuh nurani

dan melukakan akal budi.

Hari malang itu tidak akan terlupakan ― betapa tiba-tiba

muncul kerusi terbang yang dilepaskan dari tingkap pengap berjeriji yang kehilangan manusiawi kehilangan batinilalu menghempap sekujur mangsa yang tidak berdosa

di ribaan bonda yang meratib syahdu

saat seluruh kota ini tetiba terkedu

oleh sebabak drama luluh dan sayu.

Husna Nazri

Kemaman