GEORGE TOWN, 29 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyalahgunaan aset ketenteraan bagi tujuan penyeludupan dadah merupakan perbuatan mengkhianati negara yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang bersekongkol dengan sindiket dadah, termasuk pihak dari luar negara sehingga sanggup menggunakan kemudahan pertahanan negara bagi tujuan jenayah.
"Petang ini saya nak pergi TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) untuk beritahu saya bukan musuh saudara-saudara (TUDM). Saya musuh kepada orang yang khianat guna pesawat tentera udara bawa dadah," kata beliau dalam ucapan pada Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini, hari ini.
Anwar turut mengaitkan kejadian itu dengan budaya rasuah yang disifatkannya sudah menjadi sistemik sehingga membuka ruang kepada kegiatan jenayah beroperasi melalui kelemahan dalam sistem.
"Mereka pakat di sini dan negara asing sebab apa? Sebab budaya kita sistemik rasuah ini dalam dakwah kita lembut. Ini bukan hudud ... bukan hukuman pancung, potong tangan. Jadi dipandang ringan," kata beliau.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tiga tan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Kegiatan tersebut dikesan menerusi risikan berterusan PDRM yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
Sementara itu, tiga pegawai TUDM dan tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Jumaat lepas atas pertuduhan mengedar lebih 90 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine.







