Kerajaan berjaya kurangkan hutang baharu kepada RM70 bilion

26 Nov 2026, 7:55 AM
Kerajaan berjaya kurangkan hutang baharu kepada RM70 bilion

KUALA TERENGGANU, 26 NOV: Kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang baharu tahunan daripada sekitar RM100 bilion ketika mengambil alih pentadbiran negara kepada sekitar RM70 bilion ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata jumlah itu berjaya dikurangkan secara berperingkat.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih perlu menanggung dan melunaskan hutang lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

"Hutang lama itu masih mempunyai faedah yang perlu dibayar. Hutang 1MDB, Tabung Haji dan FELDA masih perlu diselesaikan hingga hari ini.

“Saya cuma mengurangkan hutang baharu, tetapi hutang lama tetap perlu dibayar, sebab itu jumlah keseluruhan hutang negara masih kelihatan besar," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan perlu terus menyelesaikan komitmen hutang berkenaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara serta kelangsungan operasi institusi tersebut terpelihara.

Anwar berkata kerajaan perlu membayar RM980 juta setahun bagi menyelesaikan hutang lama FELDA.

Beliau berkata tanggungjawab sama turut melibatkan TH bagi memastikan wang pendeposit dan kebajikan jemaah haji terus terpelihara.

“Pengurusan kewangan negara yang berhemat penting bagi memastikan kerajaan mampu memenuhi komitmen sedia ada tanpa menjejaskan keupayaan menyediakan bantuan dan kemudahan kepada rakyat,” kata beliau.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.