Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan

24 Nov 2026, 2:00 AM
Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan
Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan
Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan
Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan
Pasar komuniti PGTV satukan jiran, buka peluang jana pendapatan

SHAH ALAM, 24 NOV: Penganjuran sulung pasar komuniti Primer Garden Town Villas (PGTV) Flea Market 2026 bukan sekadar membuka peluang penduduk menjana pendapatan sampingan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan kejiranan.

Program selama dua hari bermula 21 November di Dewan Komuniti PGTV itu menghimpunkan penduduk setempat menerusi aktiviti jual beli barangan terpakai, makanan dan minuman.

Penganjur, Amirahwani Rahimi berkata idea penganjuran tercetus selepas penduduk menyuarakan hasrat menjual barangan peribadi yang tidak lagi digunakan sekali gus memberi peluang menjana pendapatan sampingan.

Menurutnya, semua vendor yang menyertai program itu terdiri daripada penduduk kawasan kejiranan dengan penyertaan peniaga makanan dan minuman bagi menyediakan kemudahan sehenti kepada pengunjung.

Amirahwani Rahimi ditemui ketika penganjuran Primer Garden Town Villas (PGTV) Flea Market 2026 pada 21 November 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

“Komuniti di sini sangat menyokong, malah seawal jam 10 pagi semua gerai sudah dikunjungi penduduk dan sambutannya sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini.

Sementara itu, peniaga, Tunku Jamilah Tunku Mohamed Abidah, 31, berkata penyertaannya bukan sekadar untuk mempromosikan perniagaan, malah menjadi peluang mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga.

Menurutnya, sambutan menggalakkan di luar jangkaannya apabila ramai penduduk hadir memberikan sokongan, selain berpeluang mengenali jiran yang sebelum ini tidak pernah ditemui.

Peniaga, Tunku Jamilah Tunku Mohamed Abidah, 31, ditemui ketika penganjuran Primer Garden Town Villas (PGTV) Flea Market 2026 pada 21 November 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

“Melalui acara seperti ini, kita dapat lihat komuniti di sini sangat kuat kerana vendor saling menyokong dan menggalakkan antara satu sama lain,” katanya.

Peniaga lain, Noor Deanna Jose Hanafiah, 34, berkata penyertaan dalam aktiviti jualan barangan terpakai memberi peluang kepadanya mengemas rumah dengan menjual barangan yang tidak lagi digunakan.

Menurutnya, aktiviti itu juga menjadi ruang santai untuk berkumpul bersama jiran tanpa tekanan berniaga, selain melihat trend pembelian pakaian terpakai semakin mendapat sambutan kerana menawarkan pilihan pada harga lebih rendah.

Peniaga, Noor Deanna Jose Hanafiah, 34, ditemui ketika penganjuran Primer Garden Town Villas (PGTV) Flea Market 2026 pada 21 November 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

“Bagi saya, aktiviti seperti ini menyeronokkan kerana kita dapat berkumpul seperti sebuah keluarga dan berkenalan dengan jiran,” katanya.

Pengunjung, Zulaiha Hamid, 35, berkata penganjuran pasar komuniti memberi manfaat kepada penduduk kerana dapat mengeratkan silaturahim, selain menawarkan pelbagai pilihan barangan termasuk hasil kraftangan yang diminati.

Pengunjung lain, Ameen Azizul, 36, berkata aktiviti berkenaan menjadi peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu selepas sibuk dengan urusan pekerjaan sepanjang minggu.

“Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, ibu bapa juga boleh bergaul dengan penduduk lain, berkongsi idea dan bertukar pandangan,” katanya.

Amirahwani berharap penganjuran itu mendapat maklum balas positif daripada penduduk supaya program seumpamanya dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih banyak vendor tempatan.

Antara produk yang terdapat di Primer Garden Town Villas (PGTV) Flea Market 2026 pada 21 November 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.