Selangor rangka pembangunan industri tenaga nuklear, sasar bina loji 2030

20 Nov 2026, 4:30 AM
Selangor rangka pembangunan industri tenaga nuklear, sasar bina loji 2030

SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor sedang merangka pembangunan industri tenaga nuklear dengan sasaran pembinaan loji 2030 termasuk mengenal pasti lokasi berpotensi di kawasan pesisir pantai dari Kuala Langat hingga Sabak Bernam.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perancangan menerusi Majlis Nuklear Selangor itu juga bakal disertai ahli akademik dan pemain industri bagi memastikan kesiapsiagaan negeri meneroka sumber tenaga baharu berkenaan.

“Sebagai contoh, Worldwide Holdings sudah menubuhkan jawatankuasa khas yang berperanan meninjau segala keperluan dan kesediaan awal, seiring dengan hasrat negeri yang mahu mulakannya lebih agresif termasuk pembangunan fizikal menjelang 2030.

“Dalam tempoh 2025 hingga 2030 ini, Kerajaan Negeri turut sediakan kerangka asasnya sama ada platform, menggunakan khidmat nasihat dan kajian.

“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri sedang mengkaji beberapa langkah untuk tubuhkan beberapa dasar selaras dengan kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebagai langkah permulaan, Amirudin berkata pihaknya bakal menghantar 22 lagi penuntut anak Selangor melanjutkan pengajian ke Universiti Harbin dan Universiti Tsinghua di China, yang memiliki kepakaran berhubung industri terbabit.

“Tiga pelajar sudah dihantar bagi pengembangan bakat bermula September 2029. Seramai 22 lagi akan dihantar melibatkan universiti sama malah kita sedia meneruskan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD),” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kawasan pesisir pantai dari Kuala Langat hingga Sabak Bernam dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi membangunkan loji nuklear terbabit.

Jelasnya, kawasan terbabit dilihat sesuai kerana berhampiran laut memaandangkan pembangunan industri itu memerlukan kemudahan sumber air bagi tujuan penyejukan dan operasi loji.

Dalam aspek kerjasama antarabangsa, Kerajaan Negeri turut meneliti model pembangunan tenaga nuklear Kazakhstan yang menggabungkan kepakaran beberapa negara termasuk Perancis, China, Rusia dan Turki bagi mendapatkan pendekatan teknologi baharu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Amirudin memperuntukan RM1 juta bagi menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama Tenaga Nuklear Selangor yang bertujuan menilai keberkesanan tenaga baharu itu.

Dana berkenaan merupakan insentif tambahan, selepas menerima tawaran biasiswa daripada syarikat China General Nuclear (CGN) berjumlah RM3.7 juta untuk menghantar 25 penuntut anak Selangor melanjutkan pengajian peringkat ijazah, sarjana dan PhD di Universiti Harbin dan Universiti Tsinghua.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.