Bekas kem PLKN dirancang jadi penjara kluster dadah, pusat reintegrasi

20 Nov 2026, 2:50 AM
Bekas kem PLKN dirancang jadi penjara kluster dadah, pusat reintegrasi
Bekas kem PLKN dirancang jadi penjara kluster dadah, pusat reintegrasi

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dirancang sebagai penjara kluster dadah, penjara satelit atau pusat reintegrasi bagi menangani masalah kesesakan penjara.

Menteri dalam negeri berkata langkah itu akan dilaksanakan melalui kaedah penyewaan atau pembelian bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada, selain menambah kapasiti penempatan penghuni.

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pendekatan itu juga membolehkan pengurusan dan pelaksanaan program pemulihan dibuat secara berfokus mengikut kategori serta keperluan penghuni.

“Kerajaan juga berpandangan bahawa isu kesesakan penjara tidak boleh diselesaikan semata-mata melalui pembinaan penjara baharu, sebaliknya memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

"(Ini) melalui pengoptimuman kapasiti fizikal serta pengurangan tekanan terhadap populasi penjara menerusi program pemulihan dalam komuniti,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 19 November.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor mengenai langkah penambahbaikan infrastruktur serta nisbah kakitangan berbanding banduan, dalam menangani isu kesesakan penjara.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat 23 September lalu, seramai 88,609 penghuni ditempatkan di fasiliti penjara seluruh negara berbanding kapasiti 74,751 orang yang ditetapkan.

Keadaan itu menyaksikan lebihan 13,858 penghuni atau 18.54 peratus daripada kapasiti sedia ada.

Secara keseluruhan, seramai 95,433 individu berada bawah kawalan Jabatan Penjara Malaysia, termasuk 6,824 orang yang mengikuti program pemulihan dalam komuniti.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu sebanyak 12 penjara usang dikenal pasti untuk penggantian, dengan lima daripadanya diberi keutamaan iaitu Penjara Pulau Pinang, Penjara Taiping, Penjara Alor Setar, Penjara Seremban dan Pusat Koreksional Batu Gajah.

"Keutamaan penggantian itu ditentukan berdasarkan usia fasiliti, keadaan fizikal bangunan, keperluan kapasiti serta kesesuaian infrastruktur bagi menyokong operasi dan program pemulihan pada masa depan," jelasnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.