Rumah Selangorku: Lokasi, permintaan pasaran dinilai elak lambakan unit - EXCO

19 Nov 2026, 3:23 AM
Rumah Selangorku: Lokasi, permintaan pasaran dinilai elak lambakan unit - EXCO
Rumah Selangorku: Lokasi, permintaan pasaran dinilai elak lambakan unit - EXCO
Rumah Selangorku: Lokasi, permintaan pasaran dinilai elak lambakan unit - EXCO

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri menilai kesesuaian lokasi dan permintaan pasaran sebelum pembangunan Rumah Selangorku dilaksanakan bagi mengelakkan lambakan unit tidak terjual serta risiko projek perumahan terbengkalai.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa pemaju berhubung kesukaran mendapatkan pembeli khususnya bagi projek di kawasan luar bandar yang berdepan permintaan lebih rendah.

Menurutnya, keadaan itu antaranya dipengaruhi kemampuan pembeli mendapatkan pembiayaan perumahan, terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan bawah RM5,000, selain kecenderungan pembeli di kawasan berkenaan memilih rumah jenis teres.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2026 Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

“Ada dua tiga faktor berlakunya masalah ini. Yang pertama disebabkan lokasi projek adalah luar bandar, hingga memberi kesan kepada kekangan pinjaman kerana pendapatan bawah RM5,000.

“Selain itu, selalunya pembeli kawasan luar bandar mahukan rumah jenis teres, jadi permintaan agak kurang. Ini turut menyebabkan timbulnya isu rumah terbengkalai,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) merekodkan 81 aduan sepanjang 2025 membabitkan pelbagai isu termasuk permohonan, status tawaran, kelewatan penyerahan kunci dan kecacatan rumah.

Sebanyak 30 aduan berkaitan penyewaan Rumah Selangorku turut diterima dalam tempoh sama.

Borhan berkata, setiap aduan akan disalurkan kepada unit berkaitan untuk penelitian lanjut dan mengenal pasti punca permasalahan sebelum tindakan penyelesaian diambil.

“Sesi libat urus dan penyelarasan turut dilaksana termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju bagi menentukan tindakan penyelesaian yang bersesuaian,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama pembeli rumah Selangorku di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di Beranang, Hulu Langat pada 2 April 2026 .Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Sementara itu, sebanyak 48,378 unit rumah mampu milik membabitkan 150 projek berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli bagi tempoh 2018 hingga 31 Oktober 2026.

Daripada jumlah itu, 37,322 unit merupakan Rumah Selangorku, diikuti 8,153 unit Rumah Idaman MBI dan 2,903 unit Rumah Selangorku Harapan.

Selain itu, sebanyak 73 projek membabitkan 36,850 unit rumah mampu milik masih dalam pembinaan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperluas akses rakyat kepada kediaman mampu milik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.