Mahkamah: Pemaju tidak boleh lepas tangan selepas DLP tamat

18 Nov 2026, 5:30 AM
Mahkamah: Pemaju tidak boleh lepas tangan selepas DLP tamat

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan pemaju hartanah masih bertanggungjawab membaiki kecacatan pembinaan yang berulang meskipun Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) telah tamat.

Hakim Sumathi Murugiah membuat keputusan itu selepas mendapati Astana Modal (M) Sdn Bhd gagal menangani masalah kebocoran air berulang dan kerosakan berkaitan di kediaman mewah D'Island Residence, Puchong, walaupun kerja pembaikan pernah dilaksanakan.

"Kerja-kerja pembaikan terdahulu oleh Astana dan tamatnya tempoh DLP tidak memberikan pembelaan penuh sekiranya kebocoran air kekal atau berulang, kerana pembaikan itu tidak berkesan.

"Oleh itu, saya mendapati plaintif membuktikan bahawa Astana melanggar kewajipannya untuk membina dan menyerahkan hartanah terjejas dengan mutu kerja yang baik dan sempurna," katanya dalam alasan penghakimannya semalam seperti dilapor BH.

Keputusan itu susulan dua saman terhadap Astana, masing-masing melibatkan 69 pembeli bagi 41 rumah berkembar dan rumah teres super-link, serta dua lagi pembeli sebuah rumah teres dua tingkat dalam projek pembangunan sama.

Pembeli mendakwa kediaman mereka mengalami pelbagai kecacatan termasuk keretakan, kebocoran air, kesan kotoran dan kemasan tidak sekata, selain membangkitkan isu keselamatan struktur bangunan.

Sumathi berkata, kecacatan berulang itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan hartanah berkenaan dipasarkan sebagai kediaman mewah dengan harga jualan tinggi.

"Memandangkan hartanah itu dipasarkan sebagai kediaman mewah dan dijual pada harga tinggi, adalah mustahil untuk mengabaikan kejadian kecacatan yang berulang.

"Kecacatan lazimnya boleh timbul semasa tempoh DLP dan dibaiki oleh pemaju.

"Bagaimanapun, kecacatan dalam kes ini bukanlah aduan terpencil yang terhad kepada tempoh DLP sahaja.

"Sebahagian daripadanya berulang walaupun selepas cubaan Astana untuk membaikinya sebelum ini dan terus muncul walaupun selepas DLP tamat," katanya.

Beliau turut menegaskan pemaju tidak boleh menggunakan klausa "seadanya" (as is where is) dalam perjanjian jual beli untuk mengelak tanggungjawab terhadap kecacatan tersembunyi atau mutu kerja yang lemah.

Bagaimanapun beliau menolak tuntutan pembeli bahawa kediaman mereka tidak selamat atau tidak sesuai diduduki kerana bukti teknikal yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan konkrit gagal memenuhi spesifikasi Gred C25.

Mahkamah memerintahkan Astana membayar kos munasabah bagi membaiki kebocoran air berulang dan kerosakan berkaitan, selain kos guaman RM35,000 kepada pembeli.

Bagaimanapun, tuntutan membatalkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), pembayaran balik harga belian serta tuntutan ganti rugi lain ditolak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.