Projek mendalamkan Sungai Ampang digesa siap segera, elak risiko banjir

17 Nov 2026, 10:37 AM
Projek mendalamkan Sungai Ampang digesa siap segera, elak risiko banjir

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri digesa menyempurnakan projek mendalamkan Sungai Ampang di Kampung Lembah Jaya Utara dan beberapa kampung berhampiran sebelum musim monsun tahun depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata projek yang bermula pada 2024 itu telah melepasi tahap 50 peratus, membabitkan kerja korekan dan pemasangan sangkar batu.

Justeru, beliau memohon sebahagian daripada peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir dan RM19.38 juta untuk 25 projek saliran, turut diberikan tempat di Sungai Ampang.

“Pada November 2024, saya memaklumkan bahawa projek mendalamkan sungai di Kampung Lembah Jaya Utara, Kampung Muhibah dan Kampung Bukit Sungai Putih, melalui kerja korekan dan sangkar batu, telah melepasi 50 peratus. Hari ini saya kembali untuk menuntut ia disempurnakan.

“Belanjawan ini memperuntukkan RM36.45 juta untuk 47 projek tebatan banjir dan RM19.38 juta untuk 25 projek saliran, jadi saya mohon Sungai Ampang diberikan tempat yang jelas dalam senarai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ahmad mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan jadual cuci gali berkala, selain wajibkan setiap projek pembinaan di hulu mengawal kelodak serta menanggung kos membersihkan mendapan.

Selain itu, katanya, papan pemuka awam projek banjir wajar memaparkan pelaksanaan kerja pembersihan longkang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Air yang bertakung bukan sahaja menenggelamkan rumah tetapi ia juga membiakkan nyamuk. Kes denggi di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meningkat lebih dua kali ganda tahun ini.

“Maka pembersihan longkang dan pencegahan denggi wajar dirancang sebagai satu program, bukan dua jabatan yang bekerja berasingan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2027 menyediakan RM36.45 juta untuk 47 projek tebatan banjir dibawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang terdiri daripada 30 projek sambungan dan 17 projek baharu dibawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.