LUMUT, 16 NOV: Kapal yang merempuh tebing Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing di sini merupakan kapal tangki tidak bermuatan yang dipercayai sedang menjalani ujian perjalanan laut atau sea trial tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati kapal berkenaan yang membawa 10 kru warga Thailand sebelum ini dikenali sebagai Fuji dan dipercayai telah bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas di negara tersebut.
“Berdasarkan maklumat awal daripada Jabatan Laut, kapal berkenaan dipercayai telah keluar pada malam sebelumnya bagi tujuan menjalankan ujian pemanduan (sea trial) tanpa kebenaran pemeriksaan awal ke atas kapal tersebut bersama agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki dan Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Perak Mohd Fazlen Abdullah.
Hasbullah berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan pemeriksaan mendapati 10 orang kru berada di dalam kapal ketika kejadian dan siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden.
Katanya, pihak berkuasa berkaitan juga sedang menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pendaftaran, kebenaran operasi serta perkara lain yang berkaitan dengan pergerakan kapal berukuran 83 meter panjang dan seberat 2,400 tan itu.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung atau menghubungi bilik gerakan 05-688 6222, talian hotline WhatsApp 017-6828005 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, beliau berkata kapal tersebut akan disauhkan sementara di kawasan yang sesuai sementara menunggu siasatan pihak berkuasa berjalan.
Terdahulu polis mengesahkan kejadian sebuah kapal besar dipercayai merempuh kawasan tebing berhampiran laluan pejalan kaki di Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing, di Lumut selepas kejadian tersebut tular di laman sosial, kira-kira 9.50 pagi tadi.
Rakaman video berkaitan insiden itu tular di laman sosial yang memaparkan pergerakan kapal tersebut berada hampir dengan kawasan daratan, sehingga sebahagian struktur tebing dilihat rosak dan pecah.










