Perkasa kesedaran bencana di sekolah, didik pelajar hadapi kecemasan

16 Nov 2026, 12:00 PM
Perkasa kesedaran bencana di sekolah, didik pelajar hadapi kecemasan
Perkasa kesedaran bencana di sekolah, didik pelajar hadapi kecemasan
Perkasa kesedaran bencana di sekolah, didik pelajar hadapi kecemasan

KLANG, 16 NOV: Program kesedaran bencana di sekolah perlu diperkasa bagi mendidik pelajar mengenal pasti risiko serta mengambil tindakan sewajarnya ketika berdepan situasi kecemasan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Dato’ Ruslee Hashim berkata pendedahan itu perlu mengambil kira jenis bencana yang berkemungkinan berlaku di kawasan sekitar sekolah.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah risiko banjir, termasuk bahaya longkang terbuka yang ditenggelami air serta perubahan kedalaman dan arus sungai.

“Macam sekolah di Jepun, pendidikan keselamatan bencana mereka mungkin berkaitan gempa bumi. Tapi kalau di Selangor bencana yang berkaitan mungkin banjir.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Dato’ Ruslee Hashim. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

“Jadi pelajar perlu didedahkan dengan risiko bencana di kawasan masing-masing supaya mereka tahu mengenal pasti bahaya dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengancam keselamatan diri.

“Antaranya, mereka perlu tahu bahaya menghampiri longkang terbuka yang ditenggelami air banjir serta sungai yang boleh berubah kedalaman dan arusnya ketika kejadian,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Syed Mashor, Azman Abdul Jamal berkata pendedahan keselamatan turut perlu merangkumi risiko ribut dan pokok tumbang.

Menurutnya, sekolah berkenaan pernah mengalami kejadian pokok tumbang serta kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kencang ketika ribut.

“Pelajar perlu tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kejadian seperti ribut atau pokok tumbang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Syed Mashor, Azman Abdul Jamal. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

“Pendedahan seperti ini penting supaya mereka tidak panik dan tahu langkah keselamatan yang perlu diambil apabila berdepan situasi kecemasan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 memaklumkan Kerajaan Negeri akan menambah baik sistem penyampaian amaran bencana antara pusat operasi negeri, daerah dan agensi di lapangan.

Beliau berkata menerusi Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti serta latihan di sekolah, penduduk akan didedahkan dengan tindakan yang perlu diambil ketika bencana, termasuk lokasi pemindahan, pihak yang perlu dihubungi dan cara membantu golongan memerlukan sokongan untuk berpindah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.