Nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru, dua maut

16 Nov 2026, 1:47 AM
Nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru, dua maut

JOHOR BAHRU, 16 NOV: Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru Expressway (SDE), menghala ke Desaru, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar PBK I Mohd Hazmi Zulkafli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 pagi sebelum jentera dari BBP Penawar tiba di lokasi pada 2.06 pagi.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, kereta Proton Persona dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dengan lima mangsa terlibat.

“Dua mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan wanita berusia 26 tahun menaiki kereta Proton Persona tersepit dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas hidraulik dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

“Dua mangsa lagi yang berada di dalam SUV iaitu wanita masing-masing berusia 51 tahun dan 47 tahun cedera, manakala seorang lelaki yang menaiki MPV selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans KKM.

Mohd Hazmi berkata operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT itu tamat pada 3.38 pagi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.