Menganjur sejauh 14 kilometer dari Kemensah berdekatan Zoo Negara di Hulu Klang, hingga Gombak, Permatang Kuarza Gombak Selangor menjadi antara khazanah alam semula jadi kebanggaan negara sebagai dinding batu kuarza tulen terpanjang di dunia.
Membentuk sebahagian daripada landskap pinggir ibu kota, mercu tanda geologi berusia ratusan juta tahun ini juga merupakan satu daripada geotapak dalam rangkaian Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp), iaitu sebuah geopark kebangsaan.
Bagi penduduk setempat, Permatang Kuarza Gombak Selangor, atau PKGS, dikenali sebagai “Dragon’s Back” atau “tulang belakang naga” kerana, dari udara, formasi batuan kuarza yang panjang, sempit dan berbongkah tajam itu tidak ubah seperti gerigi tulang belakang makhluk mitos berkenaan, yang sedang tidur di tengah-tengah kehijauan hutan tropika.
Puncak-puncak tajam berkenaan, dengan yang tertinggi dikenali sebagai Bukit Tabur (396 meter dari aras laut), menjadi tumpuan pendaki dan penggiat sukan lasak. Menawarkan daya tarikan dualiti, Bukit Tabur bukan hanya memberikan cabaran mendaki tebing curam yang ekstrem tetapi pendaki juga dijamu dengan panorama memukau menerusi gabungan kehijauan Tasik Empangan Klang Gates dan kaki langit bandar raya Kuala Lumpur.
Dari segi teknikal rekreasi pula, trek Bukit Tabur terkenal dengan laluan yang amat mencabar, melibatkan batuan kuarza tajam, tebing curam bersudut hampir 90 darjah serta gaung sedalam lebih 100 kaki di beberapa bahagian.
Populariti lokasi ini menarik ribuan pendaki saban tahun, namun susulan beberapa insiden yang meragut nyawa mendorong pihak berwajib menutup Bukit Tabur kepada umum pada 2016. Bagaimanapun, selepas sedekad, Bukit Tabur bakal kembali menerima pengunjung apabila dijangka dibuka semula tahun depan (2027).
Naik taraf laluan, perketat kawalan pendaki
Sepanjang tempoh penutupan, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kawasan rekreasi itu termasuk menggubal garis panduan keselamatan dan pelancongan lestari yang lebih ketat, bagi membolehkan Bukit Tabur dibuka semula.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Mohd Nor Firdaus Rahim, kerja naik taraf itu meliputi dua fasa utama dengan Fasa Satu yang melibatkan kos sebanyak RM350,000 bermula pada 2025 dan kini telah pun siap.
Bagi memperkenalkan wajah baharu trek Bukit Tabur, JPNS mengundang Bernama menyertai satu ekspedisi pendakian menjelang pembukaan semula tapak rekreasi ekstrem berkenaan.
Bernama dibawa mendaki sejauh kira-kira dua kilometer dari pintu masuk hingga Checkpoint (CP) 6, iaitu jarak yang akan dibuka kepada umum untuk peringkat awal.
Dari pintu masuk, pengunjung mendaki binaan 150 anak tangga hingga CP1, menggantikan laluan tanah berbatu yang curam sebelum ini. Selain itu, JPNS turut memasang pemegang dan tangga besi di kawasan cerun serta jaring keselamatan.
Pihak berwajib turut menyediakan papan tanda serta pelantar rehat yang lebih selesa. Mohd Nor Firdaus yang turut menyertai ekspedisi tersebut, berkata semua kemudahan itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan pendaki di laluan berkenaan.
“Tarikh bila akan dibuka masih dalam perbincangan badan pengurusan GHLGp, tetapi kita jangka secepat mungkin tahun depan. Pun begitu, perkara ini tetap bergantung pada kesiapsiagaan kemudahan dan penilian keselamatan secara menyeluruh oleh pihak yang berkenaan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Fasa Dua projek penambahbaikan laluan dari CP7 hingga CP13 dijangka bermula dalam masa terdekat dan disasarkan siap pada 2027, bagi membolehkan keseluruhan denai dibuka kepada umum.
“Buat masa ini, aktiviti rekreasi awam di Bukit Tabur khususnya dan PKGS amnya, masih tidak dibenarkan, kecuali untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan kajian saintifik dengan mereka yang berkenaan perlu mendapatkan permit daripada JPNS,” tegasnya.
Model pengurusan terkawal
Bagi memastikan kelestarian kawasan dan meminimumkan impak kerosakan alam selepas pembukaan semula kelak, Mohd Nor Firdaus berkata JPNS akan melaksanakan strategi Pengurusan Pengunjung Terkawal yang lebih ketat.
Menerusi pendekatan itu, jumlah pengunjung harian akan dihadkan dengan slot masa kemasukan turut ditetapkan. Selain itu, JPNS juga bercadang mewajibkan penggunaan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) berdaftar yang akan dilatih bukan hanya dalam selok-belok denai tetapi juga jenis flora dan fauna serta pengurusan risiko pendakian di kawasan tersebut.
“Malim gunung terlatih ini juga boleh menyampaikan konsep ‘Take Nothing But Memories, Leave Nothing But Footprints’ kerana, di sepanjang trek, pendaki biasanya akan menemukan banyak cebisan kristal kuarza yang perlu dilindungi daripada diambil atau dirosakkan,” tambahnya lagi.
Dari segi operasi kecemasan, JPNS akan memperkukuh kesiapsiagaan menerusi latihan simulasi menyelamat di rabung curam. Latihan itu membabitkan kakitangan lapangan seperti renjer dan pengawas hutan JPNS bersama-sama dengan malim gunung.
Jabatan itu turut mendapat kerjasama strategik agensi teknikal serta pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Dalam pada itu, beliau berkata skop tugas JPNS tidak lagi terhad pada perlindungan flora dan fauna semata-mata, tetapi turut merangkumi pemeliharaan struktur geologi purba.
“Pengiktirafan GHLGp sebagai Geopark Kebangsaan pada 2022 memberikan JPNS kuasa untuk memastikan PKGS terpelihara daripada risiko hakisan akibat limpahan pendaki, isu vandalisme serta bahaya kebakaran di rabung kuarza,” katanya.
Permata geopark bandar yang lestari
Mengulas skop lebih luas, Pengurus Pembangunan GHLGp Tourism Selangor Mohd Haffez Hanip berkata geopark itu merangkumi kawasan seluas 112,955 hektar, merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat selain melibatkan bidang kuasa beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah.
Menurutnya, sebahagian besar daripada keseluruhan 31 geotapak dalam jajajaran GHLGp dibuka kepada umum bagi tujuan rekreasi, pendidikan dan pemuliharaan.
“Jajaran luas ini mempunyai pelbagai khazanah bumi bernilai tinggi termasuk kawasan batu kapur Bukit Takun (Rawang) serta kawasan warisan sejarah seperti geotapak perlombongan arang batu di Batu Arang dan Geotapak Mata Air Panas Sungai Lalang (Semenyih).
“Khazanah biologi GHLGp turut disokong oleh tumbuhan endemik seperti pokok merawan kanching yang hanya wujud di kawasan Hutan Simpan Kanching (Rawang) serta penemuan sekurang-kurangnya 38 spesies amfibia dan reptilia unik di jajaran Gunung Nuang (Hulu Langat),” katanya.
Menurutnya lagi, keistimewaan GHLGp terletak pada kedudukan kawasan itu sebagai sebuah geopark bandar yang menawarkan akses pelancongan semula jadi paling hampir dengan ibu kota dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Gabungan ini turut membolehkan naratif pelancongan berkembang secara menyeluruh daripada sejarah batuan purba hingga warisan kebudayaan setempat.
“Namun disebabkan sebahagian besar geotapak kita mempunyai ekosistem yang sensitif, pihak Tourism Selangor selaku badan pengurusan dan penyelaras GHLGp, perlu melaksanakan konsep pelancongan berimpak rendah seperti denai geologi berpandu, aktiviti terapi hutan dan pemantauan burung.
“Langkah ini penting bagi mengagihkan tumpuan pelawat secara seimbang merentasi 31 geotapak yang ada, sekali gus mengelakkan impak kesesakan pelancong berlebihan di sesuatu kawasan berisiko tinggi sebagai contohnya Bukit Tabur,” tegasnya.
Menuju pentas dunia UNESCO
GHLGp kini melangkah ke fasa lebih besar menuju pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGG) menjelang 2027 hingga 2028.
Menurut Mohd Haffez, sebagai sebahagian daripada usaha menuju pengiktirafan UGG, pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik telah digerakkan, antaranya GHLGp memeterai kerjasama dengan Kinabalu UGG pada Jun lalu bagi memperluas perkongsian kepakaran dan penyelidikan membabitkan amalan terbaik pemuliharaan geopark, penyelidikan saintifik dan pembangunan komuniti.
Bukan itu sahaja, bagi memupuk kesedaran komuniti di peringkat awal, program rintis Sekolah Geopark diperkenalkan pada 2023 membabitkan tiga sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2, SK Dusun Tua dan SK Batu Arang menerusi pelbagai modul pembelajaran khas, galeri sekolah serta lawatan lapangan.
Di samping itu, katanya, pembangunan rangkaian pusat maklumat turut dirancang sebagai ruang pendedahan awal kepada pelawat, merangkumi penubuhan Pusat Eksplorasi GHLGp sebagai pusat sehenti di Taman Melawati dan galeri di Hulu Langat, selain pengoperasian galeri satelit seperti Galeri Batu Arang seliaan Majlis Perbandaran Selayang serta galeri komuniti sedia ada di geotapak tertentu.
“Kita juga berjaya wujudkan Program Hos Komuniti Setempat (HKSS) bertujuan melatih penduduk tempatan dan Orang Asli di sekitar geotapak untuk menceburi bidang inap desa, kraf serta pemasaran produk Industri Kecil dan Sederhana seperti kuih jongkong, di bawah label Geo-Products untuk meningkatkan nilai produk mereka.
“Kita buat semua ini bagi memastikan geopark dapat hidup dengan masyarakat yang telah disuntik kemahiran menerusi HKSS dan Malim Gunung Perhutanan (yang diterajui JPNS). Hasilnya, kita akan mampu membina generasi ‘guardian spirit’ untuk bersama-sama menjaga khazanah bumi ini,” katanya, berharap.









