SHAH ALAM, 12 NOV: Umat Islam di Selangor dilarang mengamalkan, menyebarkan atau berpegang kepada fahaman buku Unveiling Choice karangan Maryam Lee serta terjemahannya menerusi fatwa yang diwartakan pada 29 Mei lalu.
Jabatan Mufti Negeri Selangor menerusi pewartaan itu memaklumkan kandungan buku berkenaan diputuskan sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut warta kerajaan itu, keputusan berkenaan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Kandungan buku karangan Maryam Lee bertajuk ‘Unveiling Choice’ dan buku terjemahannya sama ada dalam versi jawi, rumi atau lain-lain bahasa terjemahan adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” menurut fatwa berkenaan.
Antara kandungan yang dipertikaikan ialah pandangan bahawa pemakaian hijab merupakan tuntutan budaya, manakala kewajipannya berdasarkan tafsiran patriarki atau rasionalisme semata-mata dan bukannya dalil syarak.
Fatwa itu turut menyenaraikan pandangan bahawa wanita Islam bebas memilih sama ada mahu memakai hijab tanpa berpandukan ketetapan hukum syarak.
Selain larangan mengamalkan dan menyebarkan fahaman berkenaan, umat Islam juga dilarang menerbitkan, menjual atau mengedarkan bahan berkaitan termasuk buku terjemahan, rakaman video, audio dan penulisan.
Larangan turut merangkumi penganjuran majlis serta pemberian kemudahan atau pembiayaan bagi tujuan mengembangkan fahaman tersebut.
“Mana-mana orang Islam yang menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman buku karangan Maryam Lee bertajuk ‘Unveiling Choice’ dan buku terjemahannya atau apa-apa buku atau risalah yang mempunyai persamaan dengannya hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT,” menurut warta itu.
Fatwa berkenaan bertarikh 14 Mei 2026 dan ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir sebelum diwartakan pada 29 Mei.
Dokumen tersebut turut disiarkan menerusi laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 11 November lalu.







