Polis tahan tujuh individu pecah masuk premis pajak gadai, kerugian RM28.4 juta

10 Nov 2026, 5:50 AM
Polis tahan tujuh individu pecah masuk premis pajak gadai, kerugian RM28.4 juta

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Polis Johor menahan tujuh warga tempatan termasuk dua wanita disyaki terlibat kes pecah masuk premis pajak gadai Ar-Rahnu di Kota Tinggi membabitkan kerugian RM28.4 juta yang didalangi bekas pengurusnya bagi menutup perbuatan pecah amanah.

​Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata tangkapan susulan laporan dibuat pengurus premis pada 11.42 pagi 6 Nov berhubung kejadian pecah masuk melibatkan kehilangan barang kemas dan wang tunai.

“Suspek berusia 29 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru menerusi serbuan pada 7 dan 8 Nov oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk premis itu melalui pintu hadapan dan melarikan diri menggunakan pintu belakang bersama-sama barangan kemas serta wang tunai,” katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata polis merampas pelbagai barangan kes dari sebuah rumah di sini termasuk 2,891 pelbagai jenis barang kemas, wang tunai RM27,371, resit pajak gadai, rangkaian kunci, beg silang dan telefon bimbit.

​Beliau berkata seorang suspek lelaki itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau manakala ujian saringan air kencing semua suspek didapati negatif.

​Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kejadian itu didalangi bekas pengurus wanita berusia 44 tahun dengan bekas rakan sekerjanya bagi menghapuskan bukti perbuatan pecah amanah melibatkan pemajakan barang kemas palsu yang dipercayai dilakukan dari empat atau lima tahun lepas.

“Kami percaya kebanyakan barang kemas dilarikan dan dirampas bukan emas tulen sebaliknya barang kemas palsu yang dipajak oleh suspek dengan menggunakan identiti pemajak palsu untuk mendapatkan wang tunai,” katanya.

Ab Rahaman berkata yang turut ditahan ialah suami kepada bekas pengurus wanita itu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis memperoleh perintah reman terhadap empat suspek hingga 14 Nov manakala tiga lagi suspek hingga 15 Nov.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah dengan maksud melakukan kesalahan dan Seksyen 408 kanun sama bagi kesalahan pecah amanah.

​Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada polis Johor.

​​-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.