SHAH ALAM, 5 NOV: Fenomena air pasang besar dengan paras laut dijangka mencecah 5.2 meter diramal berlaku di Pelabuhan Klang bermula 7 hingga 11 November ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan paras tertinggi dijangka direkodkan pada jam 5.02 pagi 8 November (Ahad), sekali gus berada dalam kategori amaran.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan, paras air laut diramal mencecah 5.1 meter pada 7 November (Sabtu) dan 9 November (Isnin), masing-masing pada jam 4.23 pagi dan 5.37 pagi.
Bacaan sama turut dijangka pada jam 6.08 pagi 10 November (Selasa) sebelum menurun kepada 5.0 meter pada jam 6.37 pagi, 11 November (Rabu).
Mengikut petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter berada pada paras bahaya.

Dalam tempoh sama, ribut petir dan hujan turut diramal melanda daerah Klang, khususnya pada sebelah petang dan malam.
"Pada 7 dan 8 November, ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah petang, diikuti hujan di beberapa tempat pada waktu malam.
"Bagi tempoh 9 hingga 11 November, ribut petir pada sebelah petang dan hujan pada waktu malam diramal berlaku di kebanyakan tempat," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa bersedia dan peka terhadap keadaan persekitaran, khususnya ketika fenomena air pasang besar berlaku.
Bagi sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah Klang di 03-3382 9292.







