SHAH ALAM, 5 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan peluncuran buku yang menghimpunkan analisis titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sepanjang 2002 hingga tahun ini.
Bertajuk ‘Kepimpinan Sultan Selangor dalam Integriti, Tatakelola dan Kesejahteraan Negeri: Daulat Tuanku’, buku diterbitkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kerajaan Negeri dilancarkan sempena Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026.
IIM memaklumkan naskhah terbabit mengumpul 170 koleksi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sepanjang tempoh terbabit yang mengetengahkan prinsip kepimpinan, integriti, tatakelola dan kesejahteraan negeri.
“Buku ini bukan sekadar mendokumentasikan pemikiran dan pandangan Baginda, malah nilai kepimpinan yang boleh dijadikan pedoman pemimpin organisasi, penjawat awam dan masyarakat dalam memperkukuh budaya integriti serta tanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.
“Peluncuran buku ini sekali gus memperlihatkan usaha IIM memperluas wacana integriti melalui dokumentasi ilmu dan pemikiran kepimpinan yang relevan untuk rujukan generasi masa kini dan akan datang,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Tengku Amir Shah mewakili Sultan Sharafuddin turut berkenan menyempurnakan KIN 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap pengerusi IIM, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata naskhah terbabit memperlihatkan keprihatinan berterusan Sultan Sharafuddin terhadap pengukuhan nilai integriti dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat.
“Besarlah harapan patik agar penerbitan ini menjadi sumber rujukan dan pedoman berterusan dalam memperkukuh budaya integriti serta kefahaman tentang peranan institusi raja,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi terlibat dalam penerbitan buku terbabit, antaranya Pejabat DYMM Sultan Selangor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Jabatan Penerangan Malaysia.
Pada Majlis Jamuan Teh Diraja bulan lalu, pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor berkata tindakan Sultan Selangor menekankan kepentingan integriti, kecekapan, disiplin dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam merupakan manifestasi pengalaman Baginda sebagai penjawat awam.
Menurut Dato’ Haris Kasim, menerusi pengalaman peribadi terbabit, Baginda sudah terdedah dengan selok-belok pentadbiran kerajaan dan tanggungjawab perkhidmatan kepada rakyat.
Sebelum menaiki takhta, Sultan Sharafuddin pernah menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran awam dengan berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur serta Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur.









