SHAH ALAM, 4 NOV: Lambakan berita negatif yang berulang kali memaparkan masalah tanpa mengetengahkan usaha penyelesaian boleh menyebabkan pembaca tertekan sehingga cenderung mengelak daripada mengikuti perkembangan semasa.
Pengurus Latihan dan Kurikulum Solutions Journalism Network, Kyuwon Lee berkata wartawan perlu mengubah pendekatan pelaporan dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada masalah, malah langkah dan usaha yang diambil untuk menanganinya.
Menurutnya, kewartawanan penyelesaian merupakan pendekatan pelaporan berasaskan bukti yang meneliti tindak balas terhadap masalah sosial, tanpa mengabaikan kepentingan melaporkan masalah berkenaan.
"Wartawan perlu memberikan nilai tambah kepada pembaca dengan menjelaskan pendekatan yang digunakan, keberkesanannya serta bukti yang menunjukkan sama ada usaha itu berhasil.
"Berita yang disampaikan juga perlu menggabungkan data kuantitatif dan maklumat kualitatif termasuk pengalaman individu terjejas, pandangan pihak yang mempersoalkan pendekatan berkenaan serta penjelasan pakar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika 54th Journalism Colloquium bertemakan Enough Bad News? Rethinking Journalism Through Solutions & Visual Storytelling yang dikendalikan pelajar kewartawanan tahun akhir, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam secara dalam talian, semalam.
Kyuwon berkata wartawan juga perlu melaporkan keterbatasan sesuatu usaha termasuk kos pelaksanaan dan kekangan yang menyebabkan pendekatan sama mungkin tidak sesuai digunakan di kawasan lain.
"Dalam mengenal pasti potensi penyelesaian, wartawan disaran membuat kajian dengan melihat pihak yang berjaya menangani sesuatu masalah dengan lebih baik.
"Maklumat juga boleh diperoleh daripada pakar, ahli akademik, individu yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif serta komuniti yang berdepan masalah berkenaan.
"Sebagai contoh, data penurunan kadar jenayah sesuatu tempat dalam satu tempoh masa dapat membantu wartawan mengenal pasti cara dan meneliti bagaimana hasil tersebut dicapai," katanya.
Tambah Kyuwon, kemajuan di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan juga berpotensi menjadi bahan berita kerana usaha penambahbaikan sedemikian sering berlaku tanpa mendapat perhatian masyarakat.
"Pendekatan itu membolehkan wartawan berkongsi pengalaman dan pengajaran daripada sesuatu usaha supaya komuniti atau organisasi lain dapat mempertimbangkan kaedah sama dalam menangani masalah," katanya.



