KUALA LUMPUR, 2 NOV: Keunikan cita rasa masakan Malaysia, persembahan kebudayaan dan kraftangan tradisional memeriahkan Taman Toyosu di Tokyo apabila acara Malaysia Fair 2026 berjaya menarik lebih 65,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 30 Okt hingga 1 Nov.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo dalam satu kenyataan kepada Bernama memaklumkan bahawa jumlah kehadiran itu melepasi sasaran yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap acara yang mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia serta mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Jepun.
Pameran bertemakan “All About Malaysia” itu dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani, dengan menampilkan 34 gerai dan trak makanan yang memperkenalkan sajian tempatan, kraftangan, tarikan pelancongan serta tawaran gaya hidup moden Malaysia.
“Susulan penyertaan aktif Malaysia dalam World Expo 2025 di Osaka, pameran tahun ini terus memperkukuh komitmen untuk mengeratkan hubungan antara rakyat serta memperluas peluang kerjasama antara Malaysia dan Jepun,” menurut kenyataan itu.

Naib Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar Jepun Koki Ozora hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian, bersama duta negara anggota ASEAN, pegawai kerajaan Jepun dan wakil-wakil organisasi yang mengambil bahagian.
Pameran yang dianjurkan sejak 2018 itu turut menampilkan persembahan tarian kebudayaan, aktiviti menghasilkan kraftangan tradisional serta jualan hasil kraftangan dan produk tropika Malaysia.
Selain itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia menerusi pameran pendidikan yang diadakan.
Antara tarikan lain termasuk demonstrasi masakan, sesi perkongsian mengenai kulinari serta pakej pelancongan yang mempromosikan pelbagai destinasi menarik di Malaysia.
Tiga warga Jepun turut memenangi tiket penerbangan pergi balik percuma ke Malaysia menerusi cabutan bertuah.
“Menerusi sambutan tahunan ini, Malaysia terus memperkenalkan identiti uniknya kepada masyarakat Jepun, di samping memupuk persahabatan yang berkekalan, persefahaman bersama serta memperkukuh hubungan dua hala,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pameran berkenaan dan program promosi berkaitan bertujuan meningkatkan daya tarikan Malaysia dalam pasaran Jepun, mempererat kerjasama dengan pemain industri pelancongan serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pilihan untuk menetap bagi jangka panjang.
Menurut agensi itu, Malaysia menerima 324,499 pengunjung dari Jepun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 5.2 peratus berbanding 308,614 pengunjung bagi tempoh sama tahun lepas.







