KUALA LUMPUR, 30 OKT: Sekumpulan lima pelajar universiti yang mereka bentuk pemproses sendiri bagi sistem tol tanpa palang dinobatkan johan ChampionCHIP eXperience – Malaysia Edition pada Hari Demo yang berlangsung pada 17 Oktober sempena AiSEM@Selangor 2026 (AI & Semiconductor Summit) di Kuala Lumpur.
Pasukan No Jam memenangi tempat pertama menerusi projek LaneX, iaitu sistem kawalan bagi lorong tol tanpa palang yang membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa perlu berhenti. Sistem itu dijalankan menggunakan RVBL-2, sebuah pemproses yang dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan tersebut. Bagi setiap kenderaan yang melalui lorong, sistem akan menentukan sama ada untuk mengenakan caj, merakam gambar kenderaan atau membunyikan amaran. Setiap keputusan turut dilindungi dengan tandatangan digital supaya tidak boleh dipalsukan.
Reka bentuk pemproses itu berjaya melepasi semua ujian penganjur pada cubaan pertama. Ujian dijalankan menggunakan FPGA AWS, sejenis cip yang boleh diprogramkan semula untuk menguji sesuatu reka bentuk sebelum ia dikeluarkan sebagai cip sebenar. Pasukan itu turut membina model lorong tol berskala kecil, lengkap dengan gantri cetakan 3D, bagi menunjukkan cara sistem berfungsi.

Tempat kedua dimenangi pasukan Maroon 5 menerusi Underpass Sentinel, sistem amaran awal banjir bagi lintasan bawah di kawasan bandar. Sistem itu memantau paras air secara masa nyata melalui penderia, memastikan data yang diterima tepat dan menganggarkan kadar kenaikan air. Apabila paras air menghampiri tahap bahaya, sistem akan menghidupkan pam, lampu amaran dan palang penghadang secara automatik.
Pasukan Corex pula menduduki tempat ketiga dengan RackSentinel, sistem keselamatan bagi rak pelayan di pusat data. Sistem itu melindungi peralatan daripada suhu melampau, beban elektrik berlebihan dan kebocoran air. Jika berlaku kerosakan serius, bekalan elektrik akan diputuskan serta-merta dan hanya boleh dipulihkan apabila keadaan benar-benar selamat. Maklumat kerosakan juga direkodkan bagi memudahkan jurutera menyiasat punca masalah.
Ketiga-tiga pasukan pemenang membangunkan pemproses masing-masing berasaskan seni bina pemproses terbuka RISC-V dan mengujinya menggunakan perkakasan AWS FPGA F2. Sebagai johan, pasukan No Jam menerima papan pembangunan FPGA ChipInventor dan lesen perisian reka bentuk cip selama setahun.
Sambutan melebihi sasaran
ChampionCHIP dilancarkan pada SEMICON Southeast Asia, 7 Mei lalu, dengan sasaran melatih 300 pelajar universiti dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Program itu bagaimanapun menerima 943 pendaftaran, dengan 654 peserta daripada 90 institusi tempatan dan antarabangsa.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat penyertaan tertinggi iaitu 190 peserta, diikuti Universiti Malaya (UM) seramai 88 orang, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 29 orang dan Asia Pacific University (APU) 27 orang. Program itu turut menarik penyertaan pelajar dari Nanyang Technological University (NTU), Singapura dan Universiti Tsinghua, China.
Sepanjang lima bulan, peserta mempelajari asas reka bentuk cip secara kendiri sebelum menyertai cabaran reka bentuk selama lima minggu. Mereka kemudian menghabiskan sebulan membina prototaip menggunakan AWS FPGA F2 dan platform reka bentuk cip berasaskan awan ChipInventor. Daripada 100 peserta separuh akhir, 10 pasukan yang dianggotai lima orang setiap satu layak ke peringkat akhir dan membentangkan projek masing-masing pada Hari Demo.
“Pada awalnya, kami hanya menyasarkan 300 pelajar, namun sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan apabila lebih 650 peserta menyertai program ini. Ini juga kali pertama kami menganjurkan cabaran reka bentuk IC yang sebahagian besarnya dijalankan secara dalam talian, jadi kami amat gembira melihat penyertaan 40 pasukan,” kata Pengurus Besar Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), Angel Low.
“Apa yang paling menarik perhatian saya ialah pelajar bukan sahaja mereka bentuk cip, malah memikirkan bagaimana ia boleh digunakan dalam kehidupan sebenar. Dalam industri, pereka cip lazimnya bekerja berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh pelanggan dan kurang terdedah kepada kegunaan akhir produk. Melalui ChampionCHIP, kami mahu pelajar berfikir secara berbeza, iaitu mengenal pasti masalah sebenar, membangunkan penyelesaian sendiri dan memahami bagaimana reka bentuk cip boleh mencipta nilai. Kreativiti dan minda penyelesaian masalah seperti inilah yang ingin kami pupuk dalam kalangan generasi baharu pereka IC negara,” katanya.
Melahirkan lebih ramai pereka cip tempatan
ChampionCHIP diterajui oleh ASEM dengan sokongan Sidec dan Malaysia Semiconductor IC Design Park, manakala rakan kerjasama dari Brazil ialah Von Braun Labs dan Kedutaan Brazil di Malaysia menerusi Program Diplomasi Inovasi Kementerian Luar Negeri Brazil. Cyberview dan VSTECS merupakan penaja utama program ini, dengan AWS sebagai rakan teknikal dan sokongan.
Program ini menyokong agenda pembangunan bakat di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang bertujuan membawa Malaysia melangkaui sektor pembuatan ke arah reka bentuk cip yang bernilai lebih tinggi. ChampionCHIP berperanan sebagai langkah awal bagi pelajar yang berminat dalam bidang ini, sebelum mereka meneruskan ke program latihan ASEM, latihan industri atau kerjaya di syarikat-syarikat dalam Malaysia Semiconductor IC Design Park.
Pasukan pemenang
Johan: No Jam – LaneX
Nicholas Choong Chen Juin (Monash University Malaysia), Liaw Chee Jian (UTM), Low Sin Yan Rachel (Taylor’s University), Ong Ting Haw (UTM), Fong Chee Keat (graduan TAR UMT)
Naib Johan: Maroon 5 – Underpass Sentinel
Lucas Ng Gao Jie (Xiamen University Malaysia), Low Li Xin (UM), Lim Jin Yang (UM), Amna Yasser Elnour (UTM), Chong Jia Yi (UNIMAS)
Tempat Ketiga: Corex – RackSentinel
Law Hui Tan (UTM), Chia Jing Xiang (UTM), Ooi Chin Ming (UM), Lee Wen Yi (UM), Leow Jia Jun (UTM)






