MBDK bentang perancangan pembangunan Klang, angkat visi bandar ke peringkat antarabangsa

30 Okt 2026, 10:00 AM
MBDK bentang perancangan pembangunan Klang, angkat visi bandar ke peringkat antarabangsa
MBDK bentang perancangan pembangunan Klang, angkat visi bandar ke peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) diberi penghormatan membentangkan perancangan pembangunan bandar Klang pada Persidangan United Cities and Local Governments Asia-Pacific (UCLG ASPAC) Haikou 2026 di Hainan, China, semalam.

Menerusi forum utama persidangan itu, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain membentangkan tajuk Klang Royal City: Balancing Port Growth with a Green, Smart and Inclusive Future yang mengetengahkan pendekatan pembangunan bandar secara seimbang, mampan, pintar dan inklusif.

Abd Hamid berkata, pembentangan itu turut menonjolkan kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk maritim utama Malaysia serta peranannya dalam sektor perkapalan, logistik, pengendalian kontena, perindustrian dan perdagangan antarabangsa.

Beliau turut mengetengahkan Pelan Tempatan Bandar Diraja Klang 2035 (Pindaan 1) yang mengambil kira perkembangan sektor perindustrian, termasuk kewujudan lebih 36 kawasan perindustrian serta kawasan baharu yang sedang dibangunkan.

“Pada masa sama, aspek kelestarian alam sekitar terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon, program pembersihan sungai dan penglibatan komuniti.

“Usaha itu turut disokong kerjasama strategik serta pengukuhan tadbir urus melalui pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS),” katanya.

Dalam pada itu, Abd Hamid menegaskan, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat bagi memastikan Klang kekal berdaya saing dan selesa didiami.

Menurutnya, pendekatan pembangunan yang seimbang penting bagi memastikan kemajuan ekonomi bandar dapat dinikmati penduduk tanpa mengabaikan aspek kelestarian untuk generasi akan datang.

“Penyertaan dalam UCLG ASPAC Council, Haikou 2026 itu menjadi platform bagi MBDK memperkenalkan potensi Bandaraya Diraja Klang kepada komuniti antarabangsa.

“Ia juga membuka peluang kepada perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dalam pembangunan bandar, khususnya berkaitan aspek kemampanan, penggunaan pendekatan pintar dan keterangkuman masyarakat,” katanya.

Persidangan UCLG ASPAC Haikou 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha membina masa depan bandar hijau, pintar dan iklusif di rantau Asia Pasifik, berlangsung bermula 28 hingga 30 Oktober ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.