Persatuan Rakan Grab Malaysia mahu mekanisme insurans e-hailing ikut jarak diperinci

30 Okt 2026, 1:35 AM
Persatuan Rakan Grab Malaysia mahu mekanisme insurans e-hailing ikut jarak diperinci

SHAH ALAM, 30 OKT: Persatuan Rakan Grab Malaysia (PRGM) menggesa Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi memperincikan cadangan skim insurans e-hailing berasaskan jarak perjalanan.

Pengerusinya, Shanlee Tan Shamsuri Tan berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan skim insurans yang lebih fleksibel dan mampu milik, namun beberapa aspek pelaksanaannya perlu diperjelas terlebih dahulu.

Pengerusi Persatuan Rakan Grab Malaysia, Shanlee Tan Shamsuri Tan. Foto Grab Malaysia

“Kaedah pengiraan jarak perjalanan, struktur premium dan kesinambungan perlindungan perlu diperjelas sebelum skim ini dapat dinilai dengan sewajarnya untuk pelaksanaan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mengingatkan supaya pendekatan sama rata tidak digunakan tanpa mengambil kira keperluan serta keadaan berbeza dalam kalangan pemandu e-hailing.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan sedang mempertimbangkan skim insurans dan takaful berasaskan jarak perjalanan bagi pemandu e-hailing susulan peningkatan kos insurans serta keperluan menyediakan perlindungan lebih mampu milik.

Menurutnya, skim itu akan mengambil kira jarak perjalanan dan tahap risiko individu pemandu.

Antara cadangan pembaharuan lain termasuk mekanisme perkongsian risiko dan kos antara pengendali platform e-hailing, pemandu serta penumpang, selain penggunaan teknologi telematik bagi menggalakkan pemanduan lebih selamat.

Pemandu e-hailing sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan kewangan susulan peningkatan premium insurans yang perlu dibayar bagi membolehkan mereka terus beroperasi.

Pada Mei lalu, Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Mohd Azril Mohd Amin menggesa kerajaan mengkaji semula struktur bayaran insurans e-hailing yang didakwa meningkat sehingga 200 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Kos operasi

Mengulas lanjut, Shanlee berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada skim insurans berasaskan jarak itu mampu mengurangkan beban kewangan pemandu kerana Kementerian Pengangkutan belum menjelaskan mekanisme pelaksanaannya.

Beliau mengakui premium insurans merupakan antara kos operasi utama yang mempengaruhi pendapatan bersih pemandu e-hailing.

Seorang pemandu e-hailing sedang memandu kenderaannya di jalan raya pada 29 Oktober 2018. Foto REUTERS

Bagaimanapun, katanya, Grab menyediakan perlindungan insurans harian yang membolehkan pemandu, khususnya yang bekerja secara sambilan, membayar perlindungan berdasarkan hari mereka beroperasi tanpa perlu membuat bayaran premium tahunan secara sekali gus.

Mengenai cadangan perkongsian kos antara pengendali platform, pemandu dan penumpang, Shanlee menyambut baik idea itu, namun menegaskan mekanisme berkenaan perlu dilaksanakan secara munasabah.

“Persoalan utama ialah mengapa premium insurans e-hailing meningkat begitu ketara setiap tahun. Itulah isu sebenar yang perlu ditangani.

“Kita tidak mahu syarikat insurans mengambil kesempatan daripada mekanisme perkongsian kos dengan menaikkan premium secara mendadak hanya kerana mengetahui penumpang turut menanggung sebahagian kos,” katanya.

Shanlee menambah, sebarang dasar berkaitan insurans e-hailing perlu mengambil kira kepentingan pemandu supaya kebajikan serta kelangsungan pendapatan mereka terus terpelihara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.