SHAH ALAM, 27 OKT: Bekas suami yang sengaja ingkar perintah pembayaran nafkah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta serta pengkomitan ke penjara melalui proses kehakiman.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sedang menyediakan cadangan pindaan terhadap Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap individu yang sengaja mengingkari perintah mahkamah.
Menurutnya, cadangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada, khususnya dalam menangani kegagalan bekas suami mematuhi perintah pembayaran nafkah.
Beliau menegaskan kegagalan membayar nafkah seperti diperintahkan bukan perkara remeh kerana ia membabitkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah.
“Bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes, mahkamah mempunyai beberapa mekanisme penguatkuasaan, antaranya saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan harta, prosiding Hiwalah serta perintah pengkomitan ke penjara,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin berhubung tindakan tegas terhadap bekas suami yang sengaja melengah-lengahkan perbicaraan atau gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah.
Marhamah berkata, mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap wang atau harta penghutang penghakiman berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk melalui perintah tahanan pendapatan atau potongan gaji oleh majikan bagi melaksanakan pembayaran nafkah.
Jelasnya, mekanisme itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan melalui saluran perundangan tanpa penerima nafkah perlu bergantung semata-mata kepada komitmen bekas suami untuk membuat pembayaran secara sukarela.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tindakan seperti pemenjaraan tidak dilaksanakan secara automatik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), sebaliknya perlu melalui proses kehakiman dan berdasarkan perintah mahkamah selepas mengambil kira fakta serta tahap ketidakpatuhan dalam sesuatu kes.
Dalam pada itu, JKSM turut meneliti penambahbaikan mekanisme pendahuluan nafkah dan bantuan nafkah berbentuk kewangan kepada penerima yang layak.
"Ia bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan.
“Namun, bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang berwajib ataupun pihak yang diwajibkan membayar nafkah,” katanya.







